Saturday, March 6, 2010

Pelaburan Hasil Tetap (Fixed Income) dari perspektif Fiqh Muamalah

Dalam pada kita mengejar keuntungan dan kekayaan dunia akibat sara hidup yang kian meningkat hari demi hari. Ramai orang Islam dengan mudah terpedaya dengan segala macam skim pelaburan yang menjanjikan mereka kekayaan dengan cara yang dianggap mudah, tanpa menyelidik hukum hakam (halal haram) atau dalam erti kata lain akibat kejahilan dalam ilmu fiqh muamalah.


Secara umumnya, pulangan hasil tetap bermaksud suatu deposit yang telah diberikan kepada suatu badan pelaburan, perniagaan dengan harapan mendapat suatu pulangan berkadar tetap pada suatu tempoh masa yang dipersetujui oleh kedua belah pihak.Sudah semestinyalah ahli-ahli, atau individu yang mendepositkan wang mereka hanya perlu duduk diam tanpa berbuat apa-apa kerana badan pelaburan atau perniagaan tersebut akan bekerja bagi pihak mereka. Inilah pemahaman pincang dalam beberapa system pelaburan atau perniagaan ala-ala MLM,skim cepat kaya, wang pos dan segala macam nama baru yang muncul dengan jelas tidak berpaksi pada sistem pelaburan dan perniagaan seperti mana yang telah digariskan di dalam Islam, akhirnya sistem ini semua hanya menjerumuskan individu dan ahli-ahlinya ke kancah riba!


Dan sistem pelaburan dan perniagaan sebegini amat banyak melibatkan orang-orang berbangsa Melayu yang kebanyakkan mereka ini terpedaya dengan sistem kononnya melaburkan sejumlah duit, tanpa perlu usaha dan hanya meletakkan harapan yang menggunung bagi mendapatkan pulangan yang tinggi. Hatta mereka Berjaya mendapatkan sejumlah duit yang dijanjikan, maka transaksi sedemikian tetap menyebabkan jumlah duit yang diperolehi itu tidak menepati sistem pelaburan yang diiktiraf di dalam Islam.


Hal ini adalah kerana pelaburan di dalam Islam diiktiraf selagi mana ianya tidak menjamin sebarang keuntungan yang tetap, seolah-olah para pelabur dijanjikan keuntungan yang pasti walhal ketentuan masa depan masih samar-samar yang mana pelaburan itu terdedah kepada segala macam kemungkinan dan ketidak pastian yang mungkin berlaku. Pelaburan dan perniagaan sedemikian, hanya menguntungkan sebelah pihak dan sekiranya perniagaan tersebut tidak mendapat keuntungan maka pihak yang telah berusaha itu terpaksa membayar para pelabur seperti mana yang dijanjikan. Conoth mudah, jika ada yang mengatakan dengan meletakkan RM500 dalam satu prospek pelaburan, pihak pengusaha akan memberikan RM1000 tunai sebagai keuntungan hasil kerjasama dalam tempoh dua bulan akan datang. Ini sekaligus menunjukkan satu perjanjian telah termeterai bahawasanya RM500 sebagai modal itu dijanjikan pulangannya bersama dengan RM1000 sebagai keuntungan hasil pelaburan. Dari sudut lainnya, sekiranya pihak pengusaha gagal dalam perniagaannya, mereka tetap perlu membayar RM1500 kepada pihak pelabur akibat janji mereka.


Pelaburan yang diiktiraf Islam tidak dibenarkan menjamin sebarang keuntungan, hanya anggaran dan andaian sahaja serta pihak pengurusannya tidak membuat sebarang janji untuk memberi untung itu. Ini adalah dibenarkan berdasarkan fakta atau nilai anggaran yang merupakan historical value hasil keuntunggan yang pernah dihasilkan, ia selalunya dalam bentuk peratusan dan bukannya bernilai tetap. Contoh mudah, pihak pengusaha menganggarkan pihak pelabur yang melabur dalam perniagaan mereka berkemungkinan mendapat 5% keuntungan daripada modal yang dilaburkan memandangkan hasil kiraan mereka daripada keuntungan silam, ini menunjukkan pihak pengusaha mampu menganggarkan keuntungan yang bakal mereka perolehi.


Perlu kita fahami bahawa mengikut teori keuntungan juga ialah “risk and return have direct relationship” yang mana kita ketahui sebagai trade-off concept. Secara ringkasnya lebih tinggi risiko, maka lebih tinggi pulangannya. Manakala jika risiko itu rendah, maka pulangan yang diperolehi juga adalah rendah. Justeru jika ada yang cuba melawan konsep ini melalui sistem pelaburan mereka, ianya perlu ditelusuri dengan teliti dari perspektif Islam. Dalam erti kata lain, ini bermakna keuntungan itu bukanlah tetap tanpa ada sebarang risiko,oleh itu dalam pelaburan sebenar yang diperbolehkan ialah hanya andaian dan bukannya penetapan.Is just potential not actual!


Jaminan untung tertentu dalam sebarang kontrak pelaburan adalah telah sepakat seluruh ulama sebagai haram kerana ia adalah Riba. Hadith Nabi yang telah dijadikan Kaedah Fiqh menyebut :


"(Bagi mendapatkan) Keuntungan (hasil pelaburan) mestilah dengan menghadapi risiko (bermakna tiada untung tetap dijanjikan dan pelabur mesti menjamin keelokkan barangan yang dijual jika melibatkan jual beli)" [Hadith riwayat Imam As-Syafie, Imam Ahmad, Imam Ibn Hibban, Imam Abu Daud : no 3508 ; Menurut Syaikh Albani : Hadith ini Hasan]


Dalam erti kata lain ianya juga perlu difahami sebagai al-ghunm bi al-ghurm (no risk no gain) yang mana kaedah fiqh ini begitu luas diguna pakai dalam menjadi kayu ukur untuk menilai perkara-perkara dalam bidang muamalah. Contohnya dalam perniagaan yang melibatkan perkongsian risiko berpandukan konsep ‘al-ghunm bi al-ghurm ini. Prinsip al-ghunm bi al-ghurm adalah satu kaedah yang sangat banyak diguna pakai dalam menerangkan bab risiko di dalam Islam. Adalah cukup menarik jika dilihat penerangan risiko ini dibincangkan sama dengan kebarangkalian pulangan yang diperolehi. Ia dalam erti kata lain bermaksud bahawa apabila seseorang itu sanggup menempuh risiko, dia mengharapkan pulangan apabila tidak berlakunya kerugian. Perolehan pulangan atau hasil hanya diiktiraf di dalam Islam apabila ianya melibatkan usaha ekonomi (economic venture), perkongsian risiko yang akhirnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Demikian adalah keputusan yang disebut secara sepakat oleh ulama silam, iaitu kontrak pelaburan yang menjanjikan keuntungan tetap itu adalah tidak sah menurut Islam. Dan semua untungnya juga tidak sah. [Rujuk Bada'i as-Sonai', Al-Kasani, jld. 5 hlm. 119 ; Hasyiah Ad-Dusuqi, jld. 5 hlm. 281 ; Mughni Al-Muhtaj, jld. 3 hlm. 404 ; Al-Mughni, Ibn Quddamah, jld. 5 hlm. 44]


Majlis Penasihat Shariah Dunia, AAOIFI juga telah membuat keputusan berikut,dengan jelas melalui teks fatwanya bahawasanya antara beberapa syarat-syarat yang perlu dijaga dalam hal ehwal pulangan atau hasil pelaburan adalah seperti berikut:-


  1. Dalam pelaburan, pembahagian pulangan atau hasil pelaburan perniagaan adalah dalam bentuk peratusan (ratio) yang telah dipersetujui kedua-dua pihak baik pelabur dan pengusaha.

  1. Peratusan pembahagian hasil ini boleh bertukar dari semasa ke semasa sepanjang proses pelaburan dibuat selagimana tempoh pelaburan itu diketahui agar persetujuan itu sah.

  1. Jika tiada ratio ditetapkan dalam pembahagian hasil atau pulangan pelaburan, maka adat setempat / kebiasaan menjadi petunjuk. Contoh jika adat kebiasaan menganggap keuntungan itu dibahagi sama rata makanya kadar sedemikian diaplikasi di dalam pembahagian keuntungan bagi pelaburan tersebut. Jika tiada adat kebiasaan yang boleh dijadikan rujukan, maka akad itu menjadi tidak sah dan pelabur hanya berhak mendapat apa yang ditetapkan oleh pasaran semasa atas usaha yang telah dilakukan.

  1. Apabila mana-mana pihak menetapkan baginya satu jumlah untung yang tetap dan pasti, maka rosaklah akad pelaburan Mudaraba itu. Hal ini tidak tertakluk dalam akad yang mana kedua pihak yang berakad bersetuju bila mana sekiranya keuntungan itu melebihi kadar yang ditetapkan maka salah satu pihak akan mendapat bahagian tersebut tetapi sekiranya tidak mencapai kadar yang ditetapkan itu maka pembahagian keuntungan adalah seperti yang telah dipersetujui pada awal kontrak.

  1. Adalah dilarang untuk pihak pelabur memberikan dua jumlah wang modal untuk dilaburkan dan dianggap berasingan yang mana wang laburan pertama jika mendapat keuntungan diberikan kepada pihak pelabur dan jika wang laburan kedua adalah hak milik pihak pengusaha. Adalah juga dilarang untuk pihak pelabur menetapkan bahawa keuntungan dalam tempoh pelaburan pertama adalah miliknya manakala keuntungan bagi tempoh kedua adalah milik pihak pengusaha. Begitu juga halnya jika keuntungan dari dua transaksi yang berlainan diberikan kepada dua pihak yang terlibat dalam pelaburan yakni pihak pelabur dan pihak pengusaha. [Al-Ma'ayir As-Syaiyyah, AAOIFI,hlm 237-238]



Dari sekian banyak panduan yang diberikan hendaklah difahami ayat berikut bahawasanya:

“Apabila mana-mana pihak menetapkan baginya satu jumlah untung yang tetap dan pasti, maka rosaklah aqad pelaburan Mudarabah itu"[Al-Ma'ayir As-Syaiyyah, AAOIFI,hlm 237]


Hasil pelaburan yang tetap itu adalah tidak sah dan haram untuk diambil manfaatnya kerana telah rosak akad yang dijalankan. Justeru umat Islam perlulah berhati-hati dengan segala jenis pelaburan dan perniagaan yang menjanjikan keuntungan sedemikian. Tiada jalan pintas untuk berjaya dan kaya melainkan dengan usaha dan tawakal kepada Allah Azza Wa Jalla.


Jangan akibat ketamakan kita pada harta dunia, di akhirat kelak kita sengsara.


Wallahu’allam.


Ibn Yusof

7 March 2010 / 21 Rasiul Awwal 1431

01.58 a.m

www.ibnyusof.blogspot.com


2 comments:

  1. fixed return berdasarkan komoditi murabahah apa macam, bai? :p

    ReplyDelete
  2. >ashraflatif:

    Artikel ini fokus kepada aspek pelaburan atau dalam erti kata lain Mudharabah, Musyarakah etc. Adapun Komoditi Murabahah digunakan dalam sistem perbankan sekarang lebih kepada bertujuan untuk liquidity.Dua perbincangan berbeza.

    Komoditi Murabahah juga tidak boleh digunakan untuk tujuan pelaburan atau pembiayaan sewenang-wenangnya.Salah jika dianggap sebagai 'income' walhal ianya diperbincangkan para ulamak hanya dari sudut bolehkah digunakan 'to obtain liquidity'.

    AAOIFI meletakkan garis panduan yang ketat untuk perlaksanaan komoditi Murabahah baik untuk aplikasi individu mahupun institusi sebagai beneficiary.

    Ideally speaking!

    Wallahu'allam.

    ReplyDelete